Bahagianya Bila Hati Dimiliki dan MemilikiNya

Kita akan benar-benar merasai kehilangan sesuatu itu hanya sekiranya sesuatu itu ada mengambil sedikit ruang di ingatan dan juga di hati kita. Kita tidak akan merasai kehilangan sesuatu itu sekiranya kita tidak pernah mengambil berat kehadirannya, kewujudannya dan peranannya. Kita juga tidak akan merasai kehilangan sesuatu benda yang tidak kita hargai dan tidak kita ingini dalam kehidupan kita. Bahkan mungkin, kehilangannya akan menghadirkan rasa lega, rasa tenang, rasa seronok dan rasa ‘ringan’ di bahu kita. Kerana akhirnya, benda atau sesuatu yang tidak kita sukai itu, telah hilang dari hidup kita.

Kenapa sesetengah kehilangan itu benar-benar menyedihkan kita?

Kesedihan hanya akan mengiringi kehilangan sesuatu yang kita cintai.

Kita tidak akan menangisi kehilangan sesuatu yang kita benci.

Kerana itulah, kalau kita perasan, perjuangan dan dakwah ini selalu menuntut perkara-perkara yang kita cintai daripada kita. Allah SWT selalu bertegas dalam urusan perkara-perkara yang kita cintai ini.

Firman Allah SWT di dalam surah At Taubah, ayat ke-24, bermaksud,

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

Kenapa kecintaan yang berlebihan terhadap perkara-perkara diatas mendapat ancaman keras daripada Allah?

Kenapa perjuangan Islam selalu menuntut pengorbanan perkara-perkara yang kita cintai seperti diatas?

Ikhwah Akhowat sekalian, jawapannya adalah kerana kita tidak pernah memiliki walau satu pun daripada semua nikmat yang disenaraikan tersebut. Keterikatan dan kebergantungan kepada sesuatu yang TIDAK KITA MILIKI akan menyebabkan kekecewaan yang amat sangat apabila kita KEHILANGANNYA atau diminta MENINGGALKANNYA. Kita SANGKA kita memiliki keluarga kita, isteri kita, anak-anak kita, harta benda kita, perniagaan kita, masa kita, duit kita, rumah kita, akademik kita dan sebagainya.

Rasa MEMILIKI inilah yang akan meLEMAHkan kita.

Ia akan menjadikan kita kecewa dan sedih yang amat sangat apabila ALLAH SWT menarik nikmat-nikmat ini daripada kita.

Dan kerana itulah juga tarbiyah sepatutnya MEMBINA RASA DIMILIKI DAN MEMILIKI. Rasa ‘sense of belonging’ kepada gerakan dakwah ini. Rasa dimiliki dan memiliki dakwah dan tarbiyah ini. Rasa memiliki dan dimiliki oleh ikhwah dan akhowat sekeliling. Hanya dengan perasaan inilah kita akan mampu tsabat dan istiqamah. Rasa dimiliki dan memiliki gerabak dakwah dan tarbiyah ini menyebabkan KITA TAK SANGGUP KEHILANGANNYA. Dan sekiranya kita kehilangannya, KITA AKAN KESEDIHAN YANG AMAT SANGAT.

Kenapa ramai daripada kita boleh meninggalkan gerabak dakwah ini dengan senang hati?

KERANA HATI KITA TIDAK LANGSUNG MERASAKAN KEHILANGAN apabila kaki kita melangkah keluar dari gerabak dakwah dan tarbiyah ini. Kita lebih merasakan kesedihan dan kekecewaan apabila kehilangan benda-benda lain yang terpaksa kita tinggalkan ketika bersama dakwah. Kita merasa sedih dan letih sangat apabila kehilangan masa, kehilangan duit, kehilangan waktu bersama orang-orang yang kita sayangi.

Tapi, apabila meninggalkan dakwah, kita tidak pula benar-benar merasa kehilangan hidayah, kehilangan matlamat hidup, kehilangan jiwa yang basah dengan iman dan kehilangan momentum dalam mendakwahi umat.

Ya Allah…..

Kenapa setelah bertahun-tahun menyedut madu iman dan taqwa yang menghias jalan dakwah dan tarbiyah ini, kita masih tidak merasa dimiliki dan memilikinya?

Kenapa setelah bertahun-tahun dihidangkan petunjuk dan hidayahNya, hati kita masih merasa kita memiliki kehidupan dunia ini sehingga kita tidak mampu melepaskan ia?

Kepada yang masih dan sedang istiqamah, ayuh kita renungi dalam-dalam firman Allah SWT dibawah, surah Al Hujuraat, ayat ke-7, yang bermaksud,

Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus;

Semoga hati-hati kita semua kembali merasai ‘sense of belonging’ kepada dakwah ini, tarbiyah ini, ummah ini dan jamaah ini. Hanya dengan itu kita akan merasa terikat dengannya, kasih kepada teman-teman seperjuangan, sanggup berkorban untuknya dan ingin hidup dan mati bersama-sama dengannya. Ameen.

 

Advertisements

Bukan Mudah Menjadi Zulaikha…

Semua manusia di dunia ini kurang sempurna. Ada yang kita lihat, lebih dalam satu aspek, tapi hakikatnya pasti ada kekurangannya di aspek lain. Tapi, setiap orang yang melintasi pandangan kita, yang kita temui, yang datang berjabat tangan dan bertanya khabar kita , pasti ada kelebihan tersendiri. Ini sesuatu yang perlu kita tekankan kepada diri kita. Kerana seperti dia, kita juga ada kelebihan dan kelemahan. Andai kita mahu kelebihan kita dimanfaatkan oleh orang sekeliling, maka kita juga hendaklah recognize, hargai dan manfaatkan kelebihan mereka. Memang fitrah manusia mahu dihargai oleh insan sekeliling.

Tapi bukan mudah sebenarnya nak mengiktiraf bakat dan kelebihan orang lain. DAN bukan mudah juga untuk menyelami dan memahami kelemahan orang lain. Kerana kadang-kadang, apabila kita ada satu kemampuan atau kelebihan, yang kita rasa tak susah pun kita nak buat atau rasa macam tu, kita sangka orang lain pun sepatutnya mudah untuk buat atau rasa macam kita. Ini satu pandangan yang kurang tepat dan perlu kita baiki.

Ingatkah kita kisah isteri Al Aziz (atau sering dipopularkan dengan nama Zulaikha) yang telah mencuba untuk menggoda Nabi Yusuf a.s yang ketika itu adalah seorang hamba sahaya. Wanita itu tergoda kerana terlalu indah rupa paras dan akhlak sang nabi itu. Hatinya terpaut dan menjadilah nabi yusuf itu titik kelemahan dalam hatinya. Apabila terjadi peristiwa wanita itu cuba menodai nabi mulia itu, tercetus la pelbagai umpatan di kalangan wanita-wanita di bandar Mesir yang mengutuk perbuatan Zulaikha itu. Mereka berkata,

… Isteri al aziz itu memujuk hambanya(Yusuf) agar berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada yusuf) itu sudah meresap ke dalam hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.” ( petikan surah Yusuf: 30)

Demikian ulasan mereka tentang ‘titik kelemahan’ Zulaikha yang kini sudah diketahui umum.

Tapi Allah mahu mendidik kita agar selalu cuba memahami terlebih dahulu sebelum menghakimi sesuatu peristiwa yang berlaku.

Maka tatkala wanita itu (Zulaikha) mendengar cercaan mereka, diundangnyalah wanita-wanita itu dan disediakannya bagi mereka tempat duduk, dan diberikannya kepada masing-masing mereka sebuah pisau (untuk memotong jamuan), kemudian Dia berkata (kepada Yusuf): “Keluarlah (nampakkanlah dirimu) kepada mereka”. Maka tatkala wanita-wanita itu melihatnya, mereka kagum kepada (keelokan rupa) nya, dan mereka melukai (jari) tangannya dan berkata: “Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah Malaikat yang mulia.”

wanita itu berkata: “Itulah Dia orang yang kamu cela aku karena (tertarik) kepadanya, dan Sesungguhnya aku telah menggoda Dia untuk menundukkan dirinya (kepadaku) akan tetapi Dia menolak. dan Sesungguhnya jika Dia tidak mentaati apa yang aku perintahkan kepadanya, niscaya Dia akan dipenjarakan dan Dia akan Termasuk golongan orang-orang yang hina.”

(Yusuf: ayat 31-32)

Demikian kisah yang perlu sama-sama kita teladani.

Ikhwah akhowat,

Mungkin kita sangka semua ikhwah akhowat disekeliling kita adalah anak-anak yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga yang latar belakangnya bahagia dan biasa-biasa, lebih kurang macam family kita juga. Tapi dakwah kita , alhamdulillah, sudah mencapah luas, maka dengan itu, ramainya manusia yang bersama dakwah ini pasti datang dari pelbagai latar belakang. Maka dengan itu, pasti ada pelbagai ragam dan sikap. Kerana berbezanya peristiwa-peristiwa kehidupan.

Mungkin ada akhowat kita yang ketika kecilnya pernah dimarahi oleh ibunya kerana menyibuk ketika orang tua-tua sedang bercakap, jadi sampai besar, akhowat ini mengambil iktibar peristiwa itu dan jadi trauma hingga tak pandai memberi pendapat, tak pandai memperjuangkan ideanya dan memandang buruk perbuatan memotong cakap orang lain. Semuanya kerana dia sering kali dimarahi apabila bertindak seperti itu ketika kecil. Kalau 20 tahun kita dibesarkan dengan kaedah seperti itu, takkan tarbiyah 2-3 tahun mampu nak mengubah sekaligus segala kelemahan ini. Murabbi dan teman-teman seperjuangan kena realistik dan adil.

Begitu juga, mungkin ada ikhwah kita yang ketika kecilnya selalu dipukul oleh ayahnya yang panas baran. Jadi, apabila dewasa, dia sangat tak suka melihat orang yang tidak sabar, pemarah atau terlalu mengongkong kerana akan mengingatkannya kepada peristiwa-peristiwa dipukul ayahnya ketika kecil. Oleh itu, dia jadi cepat marah dan cepat beremosi apabila ditekan oleh orang sekeliling. Pastinya kisah selalu dipukul ketika kecil adalah satu kisah yang ikhwah itu takkan share je di dalam usrah, atau ketika main game taaruf atau ketika main game ukhuwwah atau ketika sesi curhat. Ia sesuatu yang personal dan kita sebagai teman-teman seperjuangan juga tidak berhak meminta segala kisah hidup ikhwah dan akhowat kita ditelanjangkan agar kita tahu setiap inci kehidupannya.

Disinilah datang konsep tafaahum.

Disinilah berlapang dada itu sepatutnya memainkan peranan

Disinilah bersangka baik itu perlu diutamakan.

Kerana kalau kita selalu cuba memahami kondisi orang lain, secara tak langsung kita akan jadi orang yang sangat prihatin, penyayang dan sangat mendekati akhlak Rasulullah saw.

Ceriakan Dakwahmu Dengan 1 2 3

Kehidupan ini tidak mudah dan sentiasa dibaluti ujian. Semua orang, baik yang di dalam atau di luar angkatan dakwah, menghadapi ujian dalam kehidupan mereka. Semua orang, tak kiralah murabbi atau mutarabbi, mad’u ataupun da’ie, semuanya ada kelemahan dan kisah sedih masing-masing. Kita manusia dan manusia mempunyai perasaan. Dan apabila kita mempunyai perasaan, ia boleh menjadi kekuatan dan boleh juga menjadi kelemahan kita.

Kalau ketika itu kita kuat, takda masalah. Kita boleh senyum dan ceria dengan siapa-siapa sahaja. Tiba-tiba sahaja seluruh kehidupan kita menjadi positif dan semua takdir Allah kelihatan baik-baik sahaja.

Tapi realitinya tidak selamanya begitu. Kerana kehidupan di dunia ini dipenuhi pelbagai cabaran dan konflik, seorang hamba yang mengenal Tuhan dan memahami tujuan hidup pun boleh kecundang kepada perasaan dan emosi. Ketika inilah segele-gelenya tiba-tiba menjadi hitam. Takdir yang tadinya indah kini sudah menjadi suram. Komunikasi pun menjadi sukar. Dan dakwah yang tadinya seperti taman bunga, sekarang dah jadi belukar.

Semuanya kerana kita tidak mampu mengendalikan hati dan gagal menguntumkan sebuah senyuman ketika senyuman itu lebih mustajab daripada sebuah teguran.

Semuanya kerana kita tidak mampu mengawal jiwa dan tidak dapat menahan bibir dari menegakkan idea atau kata-kata kita padahal ketika itu barangkali diam atau istighfar itu lebih baik untuk kita.

Untuk itu kita perlu cari formula yang berkesan untuk memastikan dakwah kita sentiasa ceria. Bukan dakwah yang bersalah sekiranya pendapat kita tidak diterima. Bukan dakwah yang bersalah sekiranya kita tidak berjaya melaksanakan sesebuah urusan. Bukan dakwah yang bersalah sekiranya ukhuwwah retak atau persahabatan tercalar. Bukan dakwah juga yang bersalah sekiranya kita tidak dapat berbaik sangka dengan takdir Tuhan. Jadi, jangan memangsakan dakwah hanya kerana kita gagal menghadirkan sebuah senyuman.

Jadi, kita perlu sama-sama mencari formula masing. Fikirkan kaedah yang terbaik untuk mengawal diri dan emosi.

Mungkin bila rasa geram, tak puas hati atau mula kehabisan bateri sabar, boleh kira 1,2,3 dan pandang ke langit sebelum kata apa-apa kepada sesiapa. Ajar diri untuk sentiasa ambil masa dan berfikir dahulu. Even sebelum menghantar atau menjawab sms atau whatsapp sesiapa ataupun sebelum menulis status di laman sosial.

Ya, kita mampu mengubahnya! 😛

Dakwah Itu Selalu Bermula Dengan Syukur

Ya, biarlah setiap hari dakwah kita bermula dengan rasa syukur yang segar-bugar. 

Syukur kerana Allah mengurniakan kita kemampuan untuk bernafas. Paru-paru kita boleh mengembang dan mengecut bersama-sama gerakan tulang-tulang rusuk yang melindungi organ yang sungguh lembut ini. Trachea kita tidak tersumbat pagi ini dan masih kuasa mengalirkan udara sebanyak-banyaknya untuk memenuhi kantung-kantung alveoli yang halus dan tidak terbayang oleh mata kita. Saluran-saluran darah yang menyelubungi kekantung udara ini pula sentiasa efisyen dan tidak pernah terganggu proses penyerapan oksigen ke dalam darah kita sehingga seluruh sel-sel tubuh kita bisa bernyawa dan bermetabolisme secukupnya.

Untuk segala nikmat indahnya udara yang masuk keluar kedalam tubuh kita ini, maka dakwahkanlah Islam agar lebih ramai manusia mengenali penciptanya. 

Syukur kerana Allah telah mengurniakan kita mata yang kedua-duanya berfungsi dengan bagus sekali. Meski ada yang rabun jauh atau dekat, Allah selalu datang dengan kasih sayangNya dan membetulkan kerabunan itu dengan segala teknologiNya. Dia sediakan photoreceptor yang berbagai jenis agar kita bisa melihat didalam terang dan didalam samar. Dia sediakan juga lapisan demi lapisan agar tidak berlaku pantulan cahaya didalam mata. Dia sediakan juga sistem saraf agar apa yang kita lihat tercerna di otak dan sampai ke pengetahuan kita. Hubungan akrab antara mata dan otak ini melahirkan koordinasi yang tepat dan keseimbangan tubuh yang membolehkan kita boleh berjalan dengan stabil tanpa perlu berfikir pun tentangnya. 

Untuk segala nikmat indahnya spektrum alam yang dapat dilihat oleh mata kita ini, maka dakwahkanlah Islam agar lebih ramai manusia mengenali penciptanya.

Syukur kerana Allah telah mengurniakan kita sistem pencernaan yang sungguh efektif. Usus kita, tanpa kita suruh pun, dengan sendirinya menyerap apa yang baik dan diperlukan untuk tubuh kita. Dengan rajinnya usus kita menghancurkan sendiri makanan-makanan yang kita telan dengan malas dan rakusnya. Ia menapis sedaya upaya segala agen perosak yang berbahaya kepada tubuh kita agar tidak terserap kedalam darah. Tanpa kita sedari, segala nutrien atau khasiat makanan telah siap diproses, dihantar ke sel-sel lain dan disimpan sebaiknya untuk kegunaan metabolisme sel. Kita tak perlu fikir apa-apa pun tentang proses ini. Semuanya berlaku setiap saat dalam hidup kita tanpa perlu kita menyusun atur dan memikirkan apa-apa tentangnya. 

Untuk segala nikmat indahnya dan mudahnya proses pemakanan dan pencernaan didalam tubuh kita ini, maka dakwahkanlah Islam agar lebih ramai manusia mengenali penciptanya.

Kalau mahu disenaraikan satu persatu nikmatNya, sungguh tidaklah terkira. 

Yang penting, biarlah syukur ini yang membuahkan amal. 

Agar setiap butir perkataan yang kita lontarkan ke jalan dakwah akan menjadi ibarat benih yang subur yang bertumbuh menjadi pohon yang menguntumkan bunga yang mekar dan buah yang banyak.

Agar setiap amal yang dilakukan oleh anggota tubuh kita memberatkan timbangan ke syurga dan menjadi syafaat buat kita di akhirat sana. 

Agar setiap langkah didalam harakah ini dihiasi ikhlas dan tawadu’ yang konsisten dan luar biasa. 

Barulah dakwah itu akan berhasil menundukkan hati yang degil dan akal yang sempit, berhasil membersihkan jiwa yang kotor, serta berkuasa membebaskan minda yang terjajah. 

Ayuh mulakan dakwah ini dengan syukur sebanyak-banyaknya. 

Hanya Allah Tahu

Kalau manusia tahu apa yang terbaik untuk dirinya, apa yang terbaik untuk orang-orang di sekelilingnya, apa yang terbaik untuk masa depannya… pasti manusia itu sentiasa gembira hidupnya. 

Tidak ada di muka bumi ini, suatu makhluk pun, yang tahu apa yang terbaik untuk dirinya. 

Kita manusia, insan… kadang-kadang persoalan yang dibentangkan dalam kehidupan ini memerlukan kira-kira yang terlalu panjang. 

Kita sudah menolak, kita sudah menambah, sudah dikuasa tiga, empat dan lima… Kita juga sudah bahagikan.. kemudian kita darabkan..

Aduh… tak dapat juga jawapannya… sulit sekali. 

Teman disebelah kita yang melihat jalan kira kita itu merasakan dia tahu jawapannya. Jadi dia pun marah kita. Sebab kita salah kira. Dia sangka dia tahu. Dia pun kira. Kira dan kira, tapi tak dapat juga jawapannya. Teman sebelah dia pula tengok cara kerjanya, dia pula marah sebab dia nampak dan tahu kesilapan teman kita itu dimana. Tapi bila dia kira pula, ada kesilapan di step yang lain pula dan akhirnya dia juga salah. 

Demikianlah kita manusia… selalu menyangka kita tahu.. tapi rupanya kita salah… 

Kadang-kadang kita sangka orang-orang lain sepatutnya tahu jawapannya… kerana mereka mungkin sudah belajar lebih dari kita, lalu kita merasakan tidak wajar mereka tak tahu. Mereka perlu tahu.

Tapi kita semua pun manusia kan?

Tiada sesiapa pun tahu apa yang terbaik untuk kita, mereka dan orang-orang lain. 

Semua orang hanya mampu berusaha keras untuk cuba mendapatkan jawapan yang terbaik. Tetapi yang disusun oleh Allah swt sahajalah yang terbaik. Kalau jawapan salah itu yang kita dapat, itulah yang terbaik. 

Aku pandang langit tadi. Banyak bintang. Begitulah kesilapan-kesilapan kita wahai insan… Banyak sekali. Tapi semuanya nanti akan menjadi bintang yang menunjukkan arah di waktu sesat, menerangi malam yang kelam dan menghiburkan hati yang tidak tenteram. 

Yang penting kita tahu… kita sudah berusaha yang terbaik.. dan orang-orang lain pun semuanya sudah berusaha yang terbaik.. 

 

Tidak Mengapa Kalau Kita Sedikit

Saban hari aku memikirkan keadaan ini. Dimana-mana pun, andai aku berbicara dengan teman-teman di dalam dakwah, isu-isu yang sama juga yang dibangkitkan. Rata-rata mereka melahirkan kerisauan yang meruncing kerana kerdilnya jumlah du’at dan besarnya takungan umat yang masih perlukan peringatan dan belum memahami Islam. Kalau hendak memikirkan soal ini sahaja, sudah pasti ramai dari kalangan du’at tidak akan mampu istiqamah dan akan berhenti putus asa. Kerana terasa seolah-olah tidak ada hujung pangkal segala usaha yang dilakukan olehnya. Mereka bekerja dan bekerja, tetapi manusia terus dan terus hanyut. Kita pasti akan merasa berat, merasa tidak puas hati, merasa ‘pointless’ apa yang diusahakan oleh angkatan kita ini, andai kata kita menjadikan penerimaan manusia, perubahan mad’u-mad’u kita serta kefahaman Islam mereka sebagai indicator kepada kejayaan kita.

Image

Ya benar. Pastilah kita menginginkan kemenangan di medan juang, kerehatan setelah kepenatan bekerja, kejayaan setelah berusaha dan kelapangan selepas kesibukan yang bertimpa-timpa. Ini semua ketetapan Allah swt, bahawa manusia itu suka sekali kepada kemenangan dan ganjaran-ganjaran dalam berusaha.

Tetapi, lawatan Rasulullah saw dan Zaid Bin Harithah ke Tho’if tidak begitu. Bahkan kemenangan bagi Rasulullah saw ketika itu hanyalah rejaman batu dan darah yang bersimbah. Begitu juga seruan Abu Dzar r.a kepada penduduk Makkah, setelah keislamannya, kemenangannya ketika itu bukanlah islamnya penduduk Makkah sebaliknya tumbukan dan terjangan padu dari Quraisy yang berhati batu. Langsung dia disuruh pulang ke kampong halamannya oleh Rasulullah. Begitu juga keampunan dan kemaafan yang diberikan oleh Rasulullah saw kepada kaum yahudi seusai Khaibar. Kemuliaan akhlak Rasulullah saw bukanlah disambut dengan keinginan untuk memeluk Islam, bahkan dibalas dengan daging beracun yang bermaksud untuk membunuh baginda.

Wahai du’at, bahkan tentera Talut juga ditapis berulang kali oleh Allah swt sebelum mereka tiba di medan tempur untuk memerangi Jalut. Belum pun tiba di medan tempur, sebahagian dari kalangan mereka telah ‘gugur’ kerana tidak mampu menahan ujian-ujian Allah swt. Demikianlah juga kita hari ini. Berhati-hatilah kerana Allah swt pasti menguji dan pasti akan membersih dan meluhurkan jalan dakwah ini. Jalan ini jalan yang dilalui para Rasul dan sahabat. Takkanlah Allah hendak menyambung jalan dakwah ini dengan meletakkan orang-orang biasa yang tidak tahan hujan dan panas di dalam dakwah. Bukankah batu berlian itu sendiri terbentuk  hasil tekanan tinggi di dalam bumi. Tidak ada keadaan di permukaan bumi ini yang boleh menukarkan batu karbon kepada berlian. Ia harus berada di dalam kondisi tekanan yang sungguh asing, sungguh dahsyat, sungguh sulit, di bawah kerak bumi, untuk membolehkan berlian itu terbentuk. Nah, bukankah kita juga ibaratnya berlian. Kualiti yang Allah inginkan untuk para pejuang agamaNya itu tinggi, kerana itu Allah akan menguji dan menguji. Supaya akhirnya kita akan semakin istiqamah dalam mengejar syurgawi.

Istiqamah dan kekuatan untuk menggerakkan dakwah tidak akan datang secara magik dan tiba-tiba. Ia hanya akan tertanam didalam hati kita sedikit demi sedikit melalui ujian-ujian yang menimpa kita sepanjang dakwah dan tarbiyyah ini. Kerana itu kita harus sedar bahawa segala ujian yang berat ini adalah kerana Allah swt ingin melihat siapa yang benar-benar mahu bersama angkatan dakwah ini dan siapa yang berpura-pura. Allah swt ingin menyediakan takungan tenteranya yang benar-benar ikhlas. Kerana kalau dalam angkatan ini ada golongan yang lemah dan berpura-pura, mereka ini akan memutuskan barisan dan akan melemahkan saff.

Itulah yang melanda perang Hunain seketika dahulu. Usai Fathu  Makkah, tentera Islam jadi begitu ramai, bahkan melebihi jumlah tentera kafir. Tetapi kita tertipu dengan bilangan. Hakikatnya angkatan tentera Islam yang ramai itu, hanya lebih seratus orang sahaja yang benar-benar istiqamah dan bertempur hingga ke akhirnya, yang lain berpatah balik kerana sulit dan dahsyat sekali serangan kaum musyrikin. Sesungguhnya, Allah swt ingin membersihkan saff tentera Islam. Lalu disulitkanNya perjalanan dan pertempuran mereka, sehingga akhirnya, tinggalkan seberapa sahaja dari bilangan yang ramai itu, dan mereka inilah yang terbukti iman dan kesungguhnya.

Sebab itulah kita harus yakin bahawa kekuatan kita bukan terletak pada bilangan kita, berapa ramai penggerak kita, berapa ramai ahli dan anak usrah kita. Kekuatan kita terletak pada bagaimana kita apabila diseru kepada program-program, bagaimana jiwa kita apabila berseorangan, bagaimana layanan kita kepada dakwah ketika kesibukan melanda hidup kita. Disinilah kekuatan kita. Ia terletak pada istiqamah dan ketaatan yang tidak berbelah bagi.

Du’at, dakwah ini bukan untuk masa lapang. Sampai hati kita meletakkan dakwah hanya di waktu-waktu lapang kita, padahal Allah swt melayani kerenah kita dari bayi hinggalah setelah tua bangka. Allah memberi hidayah tatkala kita memohonnya, memberi kebijaksanaan dan kemudahan-kemudahan hidup kepada kita, kesemuanya percuma dan sentiasa dikurniakan kepada kita. Bahkan Allah lah yang memberi peluang kepada kita untuk melanjutkan pelajaran ke university, untuk pergi ke luar Negara, untuk mendapat elaun yang cukup bahkan lebih setiap bulan. Kesemuanya dari Allah. Tapi kita hanya memandang dakwah dengan sebelah mata. Jawapan sering terpacul dari bibir kurniaan Allah ini hanyalah, ‘hmm… tengoklah dulu macam mana.. Kalau sempat, aku buat..”. Tahniah kerana sungguh bijak mengurusi nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah swt itu.

Walaubagaimanapun, kepada segolongan daripada kita yang merasa berat tetapi terus juga melangkah, sesungguhnya perjalanan ini masih jauh dan kita tidak akan dapat memastikan penghujung kita. Tidak mengapa wahai saudaraku andai kata bilangan kita sedikit, wang kita sedikit, masa kita sempit, ilmu juga sedikit. Tidak mengapa. Kerana kita ada Allah swt bersama-sama kita. Dan apabila Allah swt bersama-sama kita, beerti seluruh alam bersama-sama kita. Yakinilah bahawa pertolongan Allah sangat besar dan pasti datang kepada hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Apatah lagi apabila kita berusaha sedaya upaya, dengan segala nikmat kurniaanNya, untuk membisikkan Islam ke seluruh umat, Allah pasti memandang kita dengan redhoNya. Dan Allah pasti akan mendatangkan nikmat pertolongan dan kemenangan nanti, sehingga para du’at akan tersenyum kepuasan. Pasti! InshaAllah.

 

Aku Seorang Tukang Kebun

Kali ini aku benar-benar berjaga untuk menulis post istimewa buat mereka yang seangkatan denganku, khususnya para ‘Harimau’ dakwah yang selalu menemaniku, sekalipun hanya dalam kiriman-kiriman doa.

****

Kali ini aku tidak dapat mengelak lagi dari perasaan yang semakin mendung di dalam hati. Kerana aku mula merasa taman-taman hati yang menjadi mas’uliyyatku sepertinya semakin hari semakin jauh dari siramanku. Meski aku cuba sedaya upaya, barangkali kerana dosa-dosaku yang menyelimuti tubuhku, aku tidak mampu lagi memancarkan cahaya yang terang. Aku rasakan taman-taman ini sudah kering. Tetapi aku tidak mampu membasahkannya. Aku tahu taman-taman ini  bakal berbunga dan kelak akan berbuah lebat, tetapi aku tidak tahu bagaimana lagi untuk menabur baja. Aku tahu taman-taman ini sunyi, kerana aku sering tiada, tetapi aku buntu bagaimana harus ku bahagikan masa.

Aku menjadi letih. Padahal aku sepatutnya terus gigih.

Aku bukan letih kerana taman-tamanku yang luas. Tetapi aku letih melawan diriku sendiri. Kadang-kadang aku jadi terfikir, barangkali taman-tamanku sudah jemu dengan penjagaanku yang tidak rapi, aku sudah tidak mampu lagi memerhati satu demi satu bunga yang menguntum, aku bahkan tidak dapat membalut satu demi satu buah yang terbentuk. Akhirnya aku sendiri melihat taman-tamanku kadangkala diserang serangga-serangga jahat yang merosakkan tanaman-tanamanku, tetapi aku hanya terdiam kaku. Kerana bunga-bungaku sendiri barangkali sudah jemu dengan baja-bajaku.

Kata orang, apabila jemu datang bertandang, barangkali sudah tiba waktu berdagang.

Mungkinkah aku perlu berangkat dan menghilang? Supaya dapat aku menyucikan diriku dengan membajai tanah-tanah lain yang masih banyak yang terbiar lapang. Agar aku lebih mampu membersihkan diriku.

Aku seorang ‘tukang kebun’. Tanaman-tanamanku sudah boleh hidup sendiri. Aku tidak ada peranan yang besar lagi. Biarlah aku berangkat pergi. Wahai Allah, Engkaulah saksi.

 

Wala’

Akan tiba suatu waktu dalam perjalanan ini,

yang sebanyak mana pun kita cuba tersenyum

tetap juga kepahitan yang terasa.

dan walau sedaya upaya kita cuba melindungi

akan terpamer juga segala yang tersembunyi didalam jiwa.

Waktu itu,

akan terujilah segala niat dan asbab

yang telah menyampaikan kita ke tahapan ini.

Andai persahabatan yang menjadi matlamat kita,

nescaya akan berderailah segalanya

kerana persahabatan itu pasti diujiNya.

Andai perhatian manusia yang kita cari

nescaya akan kecewalah kita

kerana sekarang tiada siapa lagi yang peduli.

Andai keindahan dan senyuman manusia-manusia sekeliling

yang mengikat hati kita di jalan ini,

nescaya kita akan bersedih,

kerana tak selamanya manusia boleh tersenyum.

Tidak semuanya indah.

 

Adakah aku yang bersalah?

Mungkin aku perlu diam seribu bahasa

Dan buang segala yang membeku didada.

Mungkin tidak ada gunanya.

 

Aku rindu waktu-waktu dulu.

Ruh-ruh ini terbang bebas melaju.

Entah mengapa, bila sudah lama berterbangan,

tiba saat merancang perjalanan,

burung-burung mula bertembungan,

dan datanglah ujian ini yang membimbangkan.

Wahai Tuhan,

tautkan hati-hati kami, agar kami ikhlas kembali.

Ameen.