Baitul Muslim: Antara Mimpi dan Realiti

Tahun demi tahun, barisan du’at yang tidak henti henti berusaha mentajmi’ dan mentakwin terus melahirkan generasi demi generasi ikhwah dan akhwat baru dengan izin dan bantuan Allah swt. Alhamdulillah, usaha-usaha yang dilaksanakan tanpa mengira penat lelah ini seperti tiada penghujungnya. Pasti sentiasa ada dalam kalangan kita yang terus dan terus bersemangat melaksanakan mas’uliyyah dakwah ini. Sepertimana yang Allah swt sebutkan dalam firmanNya:

“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Ali-Imran:104)

Walhamdulillah. Penerusan usaha-usaha pengislahan umat secara konsisten dan istiqamah ini adalah bukti bahawa Allah swt benar-benar memelihara ad DeenNya dan Allah swt pasti akan menyelamatkan dakwah ini. Sekalipun kita tidak bersama-sama dengan angkatan rijal-rijal ini,  gerakan ini akan terus menderu laju. Dan tidak akan menunggu kita, seandainya kita berlengah-lengah.

Maratibul Amal yang dikaji dan disusun oleh syeikh Al Banna sering menjadi sebutan para rijal. Inilah guideline kita, kemana kita menyeru dan apa yang kita cita-citakan. Dari modul awal sehinggalah modul-modul peringkat berikutnya, kesemuanya bermain di sekitar 7 maratib amal tersebut, bermula dari Individu Muslim, Baitul Muslim, Masyarakat muslim dan seterusnya sehinggalah pembinaan Ustaziatul Alam dimana Islam akan menjadi kembali menjadi tumpuan dan ikutan seluruh dunia.

Besarnya cita-cita ini ibarat besarnya sebiji buah yang jatuh dari pokok, tidak mampu dipikul oleh seekor semut hitam kecil. Tapi ia perlukan ribuan semut bekerjasama, dengan semangat dan tekad yang sama, barulah buah tersebut dapat digerakkan, biarpun perlahan-lahan, tapi akan tetap bergerak, dari bawah pokok, kedalam sarang semut-semut tersebut.

Datangnya wasilah-wasilah tarbiyyah meluhur dan menyucikan pemuda-pemudi Islam. Liqo’ demi liqo’ yang berlangsung membersihkan dan mencerahkan kefahaman Islam yang sudah lama dibiarkan terpuruk sepi di celah-celah pembangunan dan kemajuan dunia. Anak-anak muda Islam di seluruh dunia mula membuka mata. Satu demi satu negara menyaksikan kebangkitan rijalul haq yang menempik slogan-slogan kebenaran tanpa ketakutan dan kebimbangan. Pemuda-pemudi kita juga tidak kurang hebatnya. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Musuh Islam terlalu silap sekiranya mengandaikan bahawa anak-anak muda Islam sudah hanyut seluruhnya. Tidak semudah itu. Pasti ada jiwa-jiwa baru yang sudah rindukan syurga. Jiwa-jiwa inilah yang akan membela.

Tapi aku menulis hari ini kerana kebimbangan yang semakin terasa.

Ramainya akhwat yang terkumpul hari ini, membanjiri medan dakwah di seluruh dunia. Kita boleh mengumpul dan mengumpul, mengaut dan mengaut, tapi penghujungnya, siapa bisa menjamin kita akan terus bersama-sama.

Mungkin masih belum jelas isunya. Isunya adalah baitul du’at. Baitul muslim. Yang sepatutnya membentuk unit asas umat ini. Saat kerajaan Islam gugur jatuh dan lemah dahulu, rata-rata keluarga Islam tidak benar-benar memainkan peranan masing-masing. Keluarga tidak dapat digunakan untuk membina semula Islam sebenar. Segalanya terlalu porak peranda dan masyarakat menjadi keliru tentang apa yang perlu dijadikan keutamaan mereka. Maka sang genius Ustaz Al Banna datang dengan konsep Usrah, yakni keluarga. Dan melalui “keluarga” inilah rijal-rijal Muslim dilahirkan semula.

Tapi dari Individu Muslim, kita takkan boleh terus melompat kepada Empayar Islam. Ia perlu melalui fasa-fasa peningkatan. Dan fasa berikutnya adalah Baitul Muslim. Hal inilah yang menyuntik kebimbangan pada hati para akhwat. Kerana faktor bilangan akhwat yang barangkali lebih ramai di sesetengah kawasan, berbanding ikhwah. Maka konsep Baitul Muslim tidak dapat benar-benar dilaksanakan. Bukan soal kemampuan dan kelayakkan yang kita perlu bicarakan sekarang, soal bilangan saja kita sudah belum mampu dan belum cukup.

Aku tidak sampai hati untuk mengatakan “bilangan ikhwah sedikit”. Kerana setiap perkataan tersebut perlu perincian semula.

Bilangan- kalau bilangan ikhwah diukur kepada bilangan angka kosong di akhir nombor, mungkin benar, kita kekurangan ikhwah berbanding akhwat. Tapi kalau bilangan diukur kepada kapasitas dakwah, seperti Saidina Umar mengirimkan 4 orang rijal yang setiap daripadanya mempunyai kudrat seperti 1000 orang, kalau ini ukurannya, mungkin ikhwah sebenarnya sudah lebih dari cukup.

Ikhwah- siapa yang dimaksudkan sebagai ikhwah? Kalau yang betul-betul sudah dalam sistem sahaja yang disebut sebagai ikhwah, maka mungkin bilangannya memang kurang berbanding akhwat. Tapi kalau muslim baik yang komited, cuma belum diserap masuk, sudah boleh dikira satu categori, maka mungkin sebenarnya, isunya tidaklah terlalu membimbangkan. Ikhwah pun bukanlah malaikat. Boleh jadi dia ikhwah hari ini, tapi esok dia bukan lagi ikhwah. Akhwat juga begitu bukan?

Sedikit- ini yang paling perlukan pendetailan… sikit sangat kah? Atau sebenarnya kita yang tak susun dan assess betul-betul? Entah-entah sebenarnya sama ja bilangan kita. Kan?

Maka soalnya sekarang bukanlah ikhwah kurang buat kerja ke, atau akhwat terlalu ramai ke… Soalnya adalah keinginan dan kesungguhan. Seperti mana kita memandang serius soal pembinaan individu muslim dan keperluannya menuju Ustaziatul alam, seperti itu jugalah kita wajar memandang serius isu Baitul Muslim dan kepentingan pembentukannya kepada pembinaan Ustaziyatul Alam.. Sama sahaja. Apatah lagi bila kita mula membawa dakwah kepada masyarakat, masyarakat akan memerlukan contoh-contoh keluarga Islam yang dibina dengan asas-asas Islam yang benar. Masyarakat perlukan role model dalam pendidikan anak-anak dan pembinaan bi’ah solehah dalam keluarga. Semua keperluan masyarakat ini perlu dipenuhi oleh para du’at melalui pembinaan baitul muslim.

Kita juga harus memandang serius soal istiqamah dan thabat. Tidak cukup hanya berdoa. Tidak cukup hanya membina ukhuwwah. Tidak cukup hanya berpesan-pesan kepada sesama ikhwah atau sesama akhwat agar terus memberi peringatan kepada kita agar kita thabat. Tidak cukup. Kita perlu membina mekanisma yang kukuh yang boleh memastikan, inshaAllah, kita akan dapat bertahan lebih lama diatas jalan dakwah. Dan mekanisma yang terbaik itu adalah dengan mendirikan “rumah Islam” didalam kawasan dakwah ini. Yakni, mendirikan sebuah Baitul Muslim.

Saya belum berkahwin tetapi saya melihat ramai yang semakin bersungguh-sungguh di dalam dakwah kerana semakin jelas matlamat mereka selepas berkahwin. Berkahwin meningkatkan semangat dan proaktiviti kerana kita mula merasai kebersamaan dan kecintaan yang berpaksikan redha Allah. Kita akan mula belajar memberi lebih dan tadhiyyah. Kita akan melihat medan praktikal yang lebih luas kerana kepada suami dan anak-anaklah kita akan pantulkan segala akhlak islamiyyah yang dibentuk dalam liqa’-liqa’ kita. Kepada anak-anaklah kelak kita menumpahkan segala semangat, ilmu dan harapan yang kita perolehi di liqa’ dan program-program, kerana kita melihat masa depan Islam pada wajah-wajah mereka. Dan dalam masa yang sama, kita akan semakin dahaga dan laparkan himmah dan tarbiyyah kerana kepenatan tugas sebagai seorang isteri.

Baitul Muslim adalah booster iman yang sangat berkesan. Tapi ia tidak akan menjadi kenyataan tanpa adanya 2 insan yang satu hati diatas jalan dakwah.

Kita semua perlu memandang jauh. Tidak selamanya dakwah ini berputar dalam kawasan kita sahaja, dalam bilangan kita sahaja, dalam kalangan kita sahaja. Ia akan pergi lebih jauh dan akan kita akan tertinggal seandainya kita lambat bersedia. Kedua-dua ikhwah dan akhwat perlu berusaha. Kita perlu ada inisiatif. Suatu masa dahulu, Islam pernah tersebar luas di asia tenggara kerana perkahwinan putera dan puteri kerajaan Islam dengan putera-puteri kerajaan bukan Islam. Apa yang perlu adalah persiapan, keberanian dan kesungguhan. Ya, mungkin ia tidak semudah yang dikata dan disangka, tapi ia juga tidak mustahil untuk terlaksana. Dakwah tidak semestinya bermula di bangku-bangku IPT atau di program-program motivasi.

Boleh jadi seseorang itu akhirnya memahami dakwah dan menjadi ikhwah atau menjadi akhwat pada malam pertama perkahwinannya.

Tepuk dada, tanyalah semangat kita.

Advertisements

2 thoughts on “Baitul Muslim: Antara Mimpi dan Realiti

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s