Virus ukhuwwah yang membunuh harakah.

Terasa seolah-olah sudah terlalu lama hati ini tidak disentuh oleh Al Quran. Baca memang baca. Tapi belum tentu hati sudah merasa.

Aku membelek muka demi muka. Banyak juga muka surat yang sudah bertanda-tanda dengan sticker berwarna-warni. Pasti ayat-ayat ini, suatu ketika dahulu, ketika aku membacanya, aku merasa terkesan, lantas aku menandakannya. Tapi hari ini, bila dibaca semula, terasa biasa sahaja. Apatah lagi ayat-ayat yang biasa diulang-ulang oleh bibir sendiri dalam usrah-usrah dan pengisian-pengisian.

Astaghfirullah….

Mungkinkah ini yang dikatakan fatrah?

Kata orang, setiap fasa kebangkitan/semangat, ada fasa fatrah/futur/lembapnya…

Jangan ya Allah. Jangan. Futurnya seorang ikhwah atau akhwat, kalau tidak dirawat, menderitalah umat.

Biasakah peristiwa diatas menemui kalian? Mungkin ada yang pernah mengalaminya. Kalau belum, pasti lain pula ujiannya.

Walhamdulillah. Syukur kepada Allah swt yang mengurniakan kita saat futur dan kemudian menyedarkan kita tentang kefuturan kita. Lebih baik bukan? Daripada merasa bagus, merasa sudah cukup bekerja, merasa istiqamah dan thabat, tapi tidak banyak bermuhasabah. Sekurang-kurang, bila kita terjatuh, barulah kita sedar bahawa bumi yang kita pijak ini ada batu-batuan, halangan dan lubang-lubang. Barulah kita lebih berjaga-jaga dimasa depan.

Aku sudah banyak juga mendengar bahkan melihat sendiri peristiwa-peristiwa fatrah. Sedari awal melangkahkan kaki, sudah berkali-kali kami diingatkan, betapa sukarnya untuk bertahan di jalan dakwah dan tarbiyyah. Betapa ramai yang sudah gugur atas berbagai-bagai suggested reasons. Ada yang kata, kerana komitmen selepas berkahwin, ada yang kata kerana kerjaya, ada yang kata kerana tanggungjawab kepada keluarga… Macam-macamlah sebabnya. Sehinggakan,pernah sampai rumahtangga, akademik dan kerjaya  itu menjadi sesuatu yang dipandang sulit dan menggugat dakwah oleh beberapa orang kenalanku, hanya kerana banyaknya peristiwa futur yang dikaitkan dengannya.

Tapi ternyata kita kadangkala terlalu memanjakan diri kita. Futurnya seorang akhwat atau ikhwah, selalunya adalah salah dia. Tidak pernah ada salahnya pada kita… Dialah yang salah, kerana berkahwin dengan orang yang diluar tarbiyyah. Dialah yang bersalah kerana kerja sebagai doktor dan sangat susah melapangkan masa untuk aktiviti dakwah dan tarbiyyah. Dialah yang bersalah kerana itu dan ini.

Mungkin ada benarnya. Mungkin ada kelemahan dipihaknya.

Tapi aku mahu mengajak kita beramai-ramai memandang diri kita sendiri. Mungkinkah sebenarnya ada juga kelemahannya pada kita?

Boleh jadi futurnya seorang akhwat atau ikhwah itu, adalah kerana kita sendiri. Ya, kerana aku, kerana kau, kerana kita.

Kerana kita tidak berperanan seperti yang sepatutnya.

Dakwah ini fitrah. Mengapa kita sampai menjadikan ia satu keterpaksaan yang memberatkan? Sedangkan ia adalah cinta. Yang dibina dan kemudiannya akan membunga, bila waktunya tiba…

Aku jadi hairan. Ada dari kalangan kita, sampai merasakan apabila seseorang itu sudah melalui beberapa tahun/ fasa dalam tarbiyyah, dia sepatutnya sudah faham ini, sudah faham itu, sudah berubah begini, sudah berubah begitu.

Aku juga hairan. Ada dari kalangan kita, sampai merasakan orang lain seolah-olah tidak buat kerja, orang lain sepertinya sudah tidak peduli, kita sahajalah yang bersusah payah, kita sahajalah yang memahami dan merasai apa yang terjadi. Orang lain tidak mahu dan tidak perlu tahu apa-apa lagi.

Aku juga hairan. Kita kadangkala lebih senang menuding jari dan merasa diri kita benar. Kita tidak sabar dalam tarbiyyah kita, tapi kita berharap orang lain bersabar dengan kita. Kita merasa kita perlu tahu segala-galanya, kita layak dan sepatutnya diberi segala hak, tapi sudahkah kita menunaikan hak-hak dan tanggungjawab kita?

Apa kaitan golongan-golongan ini dengan futurnya ikhwah akhwat?

Jawapanku adalah, jangan terkejut kalau ada dari kalangan kita yang meninggalkan jalan dakwah dan tarbiyyah semata-mata kerana sudah terlalu jauh hati dan keletihan menanggung kesakitan di hati, hanya kerana KITA ikhwah akhwat, memandang remeh hubungan hati antara kita dalam beramal jamaie. Mungkin kita akan rasa, haaa… baguslah, Allah memang nak menapis lah tu. Orang-orang yang manja hatinya ini memang tak boleh lah berjalan diatas jalan dakwah ni… susahlah kalau asyik asyik nak kena jaga hati sahaja…

Kalau beginilah yang kita rasa, banyakkanlah istighfar… kerana merasa demikian bukanlah satu akhlaq islamiyyah. Kerana surah ‘abasa itu sendiri turun, kerana Allah menegur nabi yang bermasam muka kepada Abdullah Ummi Makhtum yang hakikatnya buta dan tidak terasa hati pun dengan nabi kerana tidak melihat nabi bermasam muka. Tapi Allah menegur. Kerana dakwah ini hanya boleh digerakkan oleh hati-hati yang hidup, yang penyayang, yang sentiasa memikirkan saudaranya… Dakwah ini tidak akan bertahan dengan kehadiran robot-robot dakwah yang kerja sehari-harian tanpa perasaan sayang dan ikhlas. Dan bila ia penat, ia meragam , dan akhirnya rosak dan terus padam, kerana menyangka hanya dia sahaja yang berfungsi di jabatannya.

Tidak…

Aku menulis hal ini kerana aku sendiri merasakan kepenatannya. Aku berdoa kepada Allah dengan sungguh-sungguh, agar aku diberi kekuatan hati dan diizinkan untuk terus thabat di jalanNya. Kerana aku sudah mula melihat percikan-percikan api dari geseran-geseran ukhuwwah yang tidak enak dipandang mata. Dan aku sudah lama mengelukan lidah kerana aku hilang bicara.

Aku sangat merasakan kepentingan untuk para muayyid membaca kitab Al Awaiq karya Syeikh Muhammad Ahmad Ar Rasyid. Aku belum habis membacanya, Tapi dari awal-awal kitab itu lagi, aku sudah dapat membaca mesej sebenarnya.

Kadangkala kita terlalu gelojoh. Kadangkala kita kurang sabar. Padahal Al Quran pun turunnya beransur-ansur. Kenapa kita sampai terlalu cepat membuak-buak? Bersabarlah. Kita kan ditarbiyyah dan mentarbiyyah. Berapa lama sangat kita sudah bergerak sehingga kita cepat sungguh merasa bagus?

Janganlah kalian salah sangka pula. Bukanlah aku menulis soal mana-mana individu. Aku menulis soal kau dan aku. Kita semua.

Aku merasakan di fasa-fasa begini, bila dakwah semakin rancak, du’at keluar bertebaran, isu-isu hati dan perasaan akan  mula meruncing. Kerana susah sekali memenuhi kepuasan orang lain, Kita tidak tahu suka duka dan pahit jerih yang dilalui ikhwah akhwat kita, maka apakah yang buat kita terlalu pasti bahawa dia sudah tidak bersemangat, dia tidak faham, dia begini dan begitu…

Mengapa kita tidak menemuinya, menggenggam tangannya dan bertanya khabarnya?

Mengapa cepat sekali kita menyangka-nyangka?

Bukankah ukhuwwah mengajar kita erti tafahum?…

Dimana tafaahum kita bila ikhwah akhwat kita memerlukan masa untuk struggle dengan kehidupan mereka?…

Aku sungguh kepenatan.

Astaghfirullah.

Ya Allah, bantulah dakwah ini. Janganlah kau gantikan kami hanya kerana kelemahan-kelemahan kami ini. Tetapkanlah hati kami.

Advertisements

One thought on “Virus ukhuwwah yang membunuh harakah.

  1. As-salaamu’alaikum, ya ukht.

    Ana setuju benar dengan nukilan ukht.

    Ana adalah antara golongan yang meminggir diri daripada da’wah fikroh Ikhwan Muslimin.. Walhal, suatu masa dahulu, ana pernah juga menjadi salah seorang qiyadah dalam tanzim qo’idah sulbah di IPT.

    Suatu ketika dahulu, ana pernah mentajmi’ ramai adik2 untuk dibawa ke program2 jama’ah. Sayangnya, saat ana bersungguh-sungguh membara semangat untuk berda’wah, ana tidak mendapat kerjasama yang baik daripada ikhwah yang lain, di IPT dan juga daripada jama’ah pusat… Sampai satu masa, ana keletihan.. Letih sangat.. Dalam pada berda’wah, ana sendiri bukanlah sempurna. Ana cukup arif, bahawa bukan semua perkara ana da’wahkan kepada adik2 telah ana sendiri lakukan terlebih dahulu. Cukup sakit apabila menyuruh orang lain melakukan sesuatu yang belum sempurna kita lakukan.

    Manakala, dalam kalangan ikhwah abang2 dari jama’ah pusat pula, ana (wakil dari IPT) juga seolah2 terpinggir. Mungkin kerana masih belajar, maka wujud jurang antara ana dan juga abang2 yang telah bekerja. Mungkin kerana ana kurang peramah, dan mugkin juga ikhwah yang lain tidak merasa kehadiran ana di kalangan mereka.

    Ana gagal mendapatkan siraman ukhuwwah tanpa-syarat (kasih-sayang yang ikhlas) daripada ikhwah saat ana mengharapkannya. Keadaan diburukkan lagi dengan persaingan merebut adik2 dengan ikhwah yang berlainan jama’ah. Suatu perkara yang ana cukup aneh, entah kenapa ana merasakan ikhwan jama’ah lain (walaupun masih berfikroh Ikhwan) sebagai pesaing yang perlu dilawan, bukannya sahabat yang perlu didekati. Ana tidak pasti pula, bagaimana pendekatan akhowat dengan mereka yang berbeza jama’ah pula.

    Akibat daripada perkara2 yang negatif tersebut, ana keluar dari jama’ah yang hampir 4 tahun menaungi diri ini. Waktu itu, ana sedih sangat… Dalam konteks jama’ah berfikroh Ikhwan Muslimin, ana boleh dikategorikan sebagai futur.

    Namun itu tidak bermakna ana menjauhi Islam. Rupa2nya, ada beberapa perkara yang ana terlepas pandang sewaktu masih bergelar aktivis. Zaman pasca-futur-jama’ah, ana mula membaca kembali diari perjalanan hidup Imam Hasan al-Banna (Detik2 Hidupku), di mana al-Imam mendapat tarbiyyah hingga menjadi seorang al-Akh Mujahid yang mengasaskan sebuah jama’ah yang keberlangsungannya sehingga ke hari ini! Barulah ana tahu, bahawa al-Imam merupakan ikhwan Toriqat Syazuliah-Husofiah. Beliau seorang sufi, jiwanya kental kesufian. Sufi ialah golongan yang memfokuskan tarbiyyah kerohanian / kejiwaan agar dapat mencapai martabat ihsan di sisi Allah..

    Ana tidak mahu membanding2kan jama’ah.. Setiap golongan dengan kekuatan masing2.. Cuma, ana suka berpegang dengan kata2 al-Imam Hasan al-Banna, “Kalau dikehendaki Allah akan bergabungnya pada umat ini keilmuan para ulama’ al-Azhar (ulama’ yang keilmuannya bersanad, kalau di Malaysia, biasanya ulama’ pondok), kehalusan hati ahli toriqat tasowwuf dan juga praktikaliti jama’ah Islam (haroki), nescaya umat ini (umat Islam) akan menjadi umat yang tiada tolok bandingnya.”

    Sekarang, ana mendapatkan tarbiyyah daripada masyaikh. Ana cuba mencari jalan-jalan yang telah dilalui oleh al-Banna pada zaman mudanya sehingga terbentuknya al-Imam Hasan al-Banna yang kita ketahui masa kini, pengasas jama’ah yang menggegarkan dunia.

    Sebagai da’ie, suka untuk ana kongsikan bersama ukht kata2 Syaikh Sa’aduddin Murad, yakni “Rosak da’wah apabila merasa berbuat da’wah.” Kita tak mampu untuk da’wah sendiri2.. Tak mampu.. Tapi Allah-lah yang menggunakan kita untuk menyeru ummah kepadaNya.. Hanya kerana digunakan olehNya, kita mampu untuk menghadapi rintangan2 yang berat.. Hanya keranaNya, kita mampu menyeru manusia untuk kembali kepada fitrah, ya’ni menghambakan diri hanya kepada Dia Yang Esa.

    Maafkan ana berceloteh panjang.. Sekadar luahan dan perkongsian peribadi kerana tersinggah ke blog ukht melalui google search engine. Moga apa yang terjadi pada ana tidak terkena kepada ikhwah/akhowat yang lain.

    Moga Allah tsabbatkan ukht dan para sahabat yang lain dalam lapangan amal Islami. Amin.

    Wallahu a’lam.

    Was-salamu’alaikum.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s