Negaraku

Anak-anak muda. Kalau kalian mahu memilih untuk tenggelam dalam kebodohan yang sejak lahir disumbat kedalam mulutmu, pilihlah. Dan kemudian janganlah kau menyesal.

Aku dan barisan-barisan jiwa yang hidup disisiku mahukan Rahmatan lil ‘alameen tertegak di bumi.

Tidak mahukah kita menjadi seperti yang Allah sebut-sebut didalam al Quran???

“Innahum fityatun aamanuu birabbihim wazidnahum huda

“Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka” (al Kahfi:13)

Wahai pemuda-pemudi harapan umat, seseorang yang tidak yakin kepada keindahan syurga, tidak akan berusaha keras untuk  mendapatkannya. Mari kita tanya diri kita, tanya hati kita, benarkah kita meyakini syurga? Benarkah kita meyakini neraka? Benarkan kita meyakini Islam sebagai satu-satunya jawapan, penyelesaian, dan penawar kepada segala episod duka dan lara dunia kita? Benarkah kita ini sudah menjernihkan kesaksian kita setiap kali melafazkan syahadah? Benarkah kita sudah menasabkan diri kita kepada dakwah ilallah ‘ala basyirah? Berbohongkah kita selama ini kepada Allah dengan kepura-puraan kita menyatakan janji kita untuk berjuang dijalanNya?

Sampai bila kita mahu melihat aqidah dan hukum-hukum Allah disepak terajang tanpa mengambilkira haq hakimiyahNya. Bernilaikah waktu muda kita dengan segulung kertas nipis yang dibarisi beberapa huruf roman menyatakan kelulusan kita yang tidak seberapa? Padahal pada detik yang sama, di Mesir, di Tunisia, di Libya, di Palestin, mereka dan mereka yang seusia kita, memberi nilai yang sangat besar kepada waktu muda mereka —kemerdekaan negara mereka. Mereka barangkali sudah di syurga, kerana jirusan darah mereka kepada pohon-pohon perjuangan mereka, hari ini, sudah membebaskan tanah air mereka daripada perhambaan kepada manusia, kepada perhambaan hanya semata-mata kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Mereka hari ini bebas menghambakan diri kepada Allah swt tanpa khuatir kepada cemeti-cemeti taghut yang tidak akan lagi menghinggapi tubuh mereka.

Kita hari ini tidak perlu ditambat kepada mana-mana tongkol pun, seperti lembu malas, kita mendengus sahaja setiap kali ditujah-tujah tuannya. Sudah tahu akan disembelih esoknya, malam ini masih selera makan rumput dan buat tak tahu sahaja. Berapa lama lagi kita mahu jadi lembu-lembu sembelihan? Tidak malukah kita kepada lembu-lembu di kiri kanan jalan, kerana hakikatnya kita yang memandu kereta besar-besar, belajar tinggi-tinggi sampai cucur atap, realitinya, hanyalah lembu-lembu bertopengkan manusia.

Sudah lama Islam menyeru jiwa-jiwa kita. Bangunlah, bangunlah, bangunlah! Kerana keselesaan yang saban hari membaluti kita adalah rencana syaitan yang sangat mahu menjirus didihan api neraka kedalam usus-usus kita nanti. Kalau kita terus tidak sensitif, kita terus malas bertindak, kita masih kecil cita-cita, takut berusaha, takut berkata-kata, takut menyuarakan isi hati kita, percayalah, kita tidak akan kemana-mana.

Hari ini aku mendengar taujihat “Generasi Pemuda dan Perubahan” yang paling berkesan dan paling aku fahami sepanjang hidupku. Inilah jawapan kepada segala persoalanku. Aku kongsikan bersama-sama kalian kerana aku mahu kalian juga bebas dari kandang lembu yang tidak layak menjadi tempat tinggal kita. Kemudaan kita adalah senjata. Dan suatu hari nanti, tatkala di hadapanNya, sekurang-kurangnya kita ada jawapan untuk soalan “Apa yang kau lakukan ketika usia mudamu?”.

Kata Imam As Syahid Hassan Al Banna, seorang da’ie itu adalah orang yang paling cinta kepada tanah airnya. Dan inilah lafaz cintaku untukmu, Negaraku.

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s