Tap.Tap..

Allahu akbar

Allahu akbar

Allahu akbar.

Semalam, tatkala takbir bergema di Elermore Vale Community Center, aku dapat merasakan getaran-getaran di segenap sudut hatiku. Ya, inilah pertama kalinya aku merayakan hari kemenangan Aidilfitri ini di perantauan. Di kala lafaz takbir dilaungkan, wajahku terasa panas. Aku menahan nafas. Terasa sesak sebentar. Pelbagai perasaan bagaikan berlari-lari menerjah fikiranku. Terasa lemas dalam perasaan-perasaan yang dalam. Aku terkesima. Hatiku berkata, ‘begini rupanya perasaannya bila menyambut aidilfitri di luar negara.’ Aku menyedari genang air di bawah mataku. Aku biarkan sahaja.

Tap.Tap.Tap…

Bisik hatiku, biarkanlah ia mengalir. Bukankah hari ini hari kau kembali kepada fitrahmu…? Bukankah fitrah seorang manusia itu bisa merasa sedih dan sayu tatkala berjauhan dengan orang-orang yang disayangi…? Biarkanlah sebentar.

Saat itu, kalau bisa ku tahan waktu yang sedang berlalu itu, pastilah aku sudah menahannya. Terasa gementar sekali untuk melihat Ramadhan yang penuh maghfirah dan barakah itu berlalu pergi. Terasa takut sekali andainya aku termasuk dalam golongan yang tidak diampuni seusai Ramadhan berlalu padahal di bulan inilah Allah sangat sangat banyak mengampuni hamba-hambaNya…

Saat itu, kalau bisa aku berhadapan dengan ar Rasul yang tercinta, nescaya aku mohon baginda bawa ku pergi jauh dari sini. Ke suatu kawasan damai yang mana penghuni-penghuninya bukanlah menunggu-nunggu Syawal tiba kerana tidak sabar untuk beraya, tapi menunggu-nunggu kehadirannya untuk terus istiqamah dengan amalan di bulan sebelumnya. Seandainya bisa aku khabarkan kepada baginda, kepada Bilal, kepada Sumaiyah, kepada Mus’ab, kepada Abu Bakr, kepada Umar, bahawa perjuangan mereka masih diteruskan, nescaya sudah ku sampaikan sepenuh jiwa. Namun hakikatnya, aku tidak sanggup. Kerana sedikitnya usaha kita padahal banyak sekali masalah yang melanda.

Allahu akbar.

Hari ini takbir yang bersahut sahutan seharusnya menggentarkan hati kita. Kerana barangkali ini adalah yang terakhir kalinya. Kerana bisa saja kita tidak lagi bertemu dengan Ramadhan dan Syawal yang berikutnya. Takbir yang bergema-gema sepatutnya menggentarkan jiwa-jiwa kita dengan keimanan dan ketakwaan yang semakin bertambah-tambah, tanda sudah lulus tarbiyyah madrasah Ramadhan yang penuh rahmah.

Tatkala meja-meja makan kita penuh dengan pelbagai juadah, dapur-dapur kita berbau rempah dan kuah, pinggan-pinggan datang silih berganti, minuman bersinar-sinar mencurah ke lelangit, di kala yang sama, saudara-saudara kita di Palestin barangkali sedang berperang dengan kelaparan. Kerana sedikitnya dan terbatasnya bekalan bahan mentah, bahan api dan juga air bersih di kem-kem mereka. Bayi-bayi kecil yang barangkali tidak punya ibu dan bapa, dan isteri-isteri yang menjadi balu sekelip mata, barangkali sedang bertarung dengan perasaan yang berat. Kerana sayunya saban tahun , aidilfitri disambut dengan bedilan-bedilan mortar dan runtuhan-runtuhan bangunan yang tidak mengenal masa dan peristiwa.

Tatkala kita berfikir-fikir, baju apa untuk hari ini dan baju apa untuk hari esok, barangkali di detik yang sama, ibu-ibu kita di Pakistan sedang berfikir-fikir, makanan apa untuk anaknya hari ini, dan makanan apa untuk hari esok…kerana sesungguhnya tidak ada walau segenggan tepung pun yang tinggal untuk menyediakan sepotong roti untuk anak-anak yang kelaparan.

Wahai saudaraku, aku menyeru. Cukup-cukuplah dengan kelalaian dan kelemahan-kelemahan kita yang telah terlalu lama mereputkan umat. Apakah kita layak menyambut aidilfitri dikala kita kalah kepada cubaan-cubaan kecil yang bersifat duniawi? Bukankah ar Rasul dan para sahabat menyambut aidilfitri ini atas kemenangan Badar dan Khandak yang menuntut begitu banyak pengorbanan jiwa dan harta? Bahagian mana dalam hidup kita yang melayakkan kita untuk berhibur-hibur dan bersuka ria ketika ini?

Ayuhlah saudaraku. Aidilfitri bukanlah hari kita menyembah kembali kepada nafsu-nafsu dan kepentingan diri. Padahal Ramadhan telah menjadi saksi kemampuan kita untuk bersolat sunat sampai 8 rakaat setiap malam, tidak makan dan minum sepanjang siang, tidak mengumpat dan berkata-kata yang sia-sia, tidak mudah marah dan tidak berdusta. Bukankah kita mampu sahaja untuk menjadi sebenar-benar hamba Allah di bulan Ramadhan? Kenapa perlu mengakhiri bulan mulia ini dengan perkara-perkara yang sia-sia? Kenapa perlu akhiri Ramadhan ini peristiwa-peristiwa yang tidak perlu? Di mana rasa malu kita padahal baru tadi di dalam takbir, kita berkata,

“kami ikhlas kepadaNya (ikhlas mengikuti ajaran Islam) sekalipun dibenci orang-orang kafir…”

Ayuhlah kalian. Ayuh bangun semula. Terlalu lama kita tidur, dan tidak terjaga-jaga. Tidak mungkin akan terbela umat ini andai kita mahu terus leka padahal berkali-kali diseru kepada Allah dan RasulNya…

Allah, bersaksilah.

Allahul musta’an.

Semoga aidilfitri ini menjadi pendorong semangat untuk kita terus beramal dengan amalan ahli-ahli syurga.

 

Advertisements

One thought on “Tap.Tap..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s