Askar-askar Glenworth Valley

Angin bertiup kuat malam itu. Khemah-khemah kami bagaikan hampir tumbang. Tapi pancang-pancang yang tertanam ke dalam bumi itu bagaikan benar-benar bertahan untuk terus menancapkan khemah-khemah itu di permukaan bumi. Tanah juga kelihatannya padat kerana titisan-titisan air hujan yang membasahi bumi Calga sepanjang malam semalam masih belum cukup kering. Rumput-rumput juga bagaikan kaku kesejukan dalam kegelapan malam yang mencengkam itu.

Glenworth Valley malam itu begitu dingin dengan tiupan angin yang menderu-deru. Inilah kali pertama aku berada di sini. Di Glenworth Valley, untuk sebuah tarbiyyah bersifat askari. Saat itu, kami cuma ditemani nyalaan api yang kecil di tengah-tengah kawasan khemah kami yang nyalaannya sekali sekala bagaikan direntap ke kiri dan kanan dek pukulan angin sejuk yang sekali sekala menunjukkan taringnya. Di sekeliling kami cuma ada pohon-pohon tinggi yang hanya sekali sekala kelihatan rupanya kerana dibayangi kegelapan malam.

Kami ramai-ramai mendongak ke langit. Di tengah-tengah dataran yang dipukul angin bertalu-talu itu, kami tidak tahan untuk berdiri, lantas kami membaringkan tubuh masing-masing ke bumi. Kami “star gazing”. Aku mendengar kekaguman sahabat-sahabatku terhadap ciptaan Ilahi yang bertaburan di dada langit itu. Aku juga mengkaguminya. Dalam kegelapan malam itu, pada saat pohon-pohon menyembunyikan kehadirannya, dan rerumputan kaku kesejukan, serta tanah padu bagaikan tiada ruang lagi untuk diisi sedikit perasaan, rupa-rupanya Allah menghadiahi kami bintang-bintang yang cukup membuahkan cinta yang tidak terkira.

Malam itu, doa-doaku saja tidak sunyi dari pandangan ke langit Glenworth Valley. Kerana mereka pasti menjadi saksi-saksiku, pada saat aku menyaksikan kehadiran mereka di situ. Merekalah hujah-hujah aku dan hujah buat sahabat-sahabatku.

Malam itu kami penuhi dengan pengisian hati yang cukup basah. Pembentangan tafsir ayat-ayat pilihan daripada seorang ukhti menjadikan langit malam itu semakin cerlang. Bukanlah pertambahan bilangan bintang yang aku maksudkan tetapi harapan. Malam itu aku melihat banyaknya harapan-harapan dari Tuhan.

Tamat sahaja taujihat tersebut, kami duduk lagi di situ. Kali ini untuk persembahan lakonan daripada kumpulan-kumpulan peserta Muaskar kali ini. Satu demi satu menampilkan ketuntasan dan kekreatifan masing-masing. Nusaybah, Ummu Nidal, Khadijah dan Na’ilah adalah nama kumpulan-kumpulan kami. Dan bumi malam itu memang bergegar dengan dentuman-dentuman suara para pelakon. Ada yang melaungkan takbir menyeru jihad ke Badar, ke Uhud, ke Ahzab dan juga seruan dakwah menuju Allah. Jiwa-jiwa besar yang aku saksikan dihadapanku pada saat itu, aku yakin sekali, kalau Allah izinkan untuk terus meniti titian tarbiyyah dan dakwah ini, pastilah jiwa-jiwa besar ini bisa menggentarkan mana-mana hati yang berhadapan dengan mereka. Pasti! InshaAllah!

Malam itu hirasah dan qiam berjalan seperti biasa. Giliran hirasahku pada malam sebelumnya berlalu dalam keadaan yang sangat sukar. Ketika itu hujan turun begitu lebat sehingga kami tidak mampu menghasilkan api, kawasan perkhemahan sangat gelap, basah, lembap, dan sejuk. Aku sendiri menggigil malam itu. Kami bertiga yang berjaga malam itu menggigil bersama-sama di dalam khemah. Sekali sekala salah seorang ukhtiku menyuluh-nyuluh keluar khemah. Hujan masih berat.

Tapi malam ini tidak begitu. Angin memang membantai kami habis-habisan. Dari gunung-gunung, deruan angin sangat jelas kedengaran. Seolah-olah sedang berkata-kata. Tapi tak bisa difahami ertinya. Mungkin kerana aku manusia.

Malam itu aku sempat menunaikan solat sunat 2 raka’at sebelum membantu akhwat di barisan penyedia sahur. Sahur kami hari tu adalah roti dengan telur rebus penyek dan sedikit jem serta mentega kacang. Tapi kerana jem dan kacang itu sedikit sahaja, akhirnya roti yang lebih dimakan begitu sahaja dan sekali sekala dicecah dengan teh cair. Alhamdulillah. Sahur yang cukup mengenyangkan. sehinggakan esoknya kami mampu berkawad dan berexplorace di sekitar Glenworth Valley dengan penuh bertenaga. Benar sekali, pada sahur itu memang ada keberkatan.

Banyak sebenarnya yang aku lalui di kem askari kali ini. Ini kali pertamanya aku menyertai muaskar di bumi kanggaroo ini. Terus terang aku katakan, kali ini ruhnya sangat sangat berbeda. Entah apa yang membakar jiwa-jiwa kami, sehinggakan terasa hangat sekali dada kami, membuak-buak dengan keinginan yang dalam untuk terus berjuang. Entah apa yang mengikat hati sehinggakan terasa terlalu erat ikatan antara hati-hati kami seolah-olah kami semua lahir dari rahim yang sama dan berkongsi darah dan susu yang serupa. Entah apa yang membasahi ruh-ruh kami sehinggakan setiap butir kata yang dilontarkan para ukhti, pasti akan melakar sesuatu di hati, pasti akan membina himmah yang tinggi, pasti akan menguntumkan senyuman yang suci.

Muaskar Glenworth Valley bagi aku adalah sebuah kisah cinta yang dalam. Kau tak tahu dan takkan pernah tahu apa rasanya kecuali kau bergabung bersama-sama kami.

Saat ini aku merasainya ya Allah. Alhamdulillah, kali ini aku merasainya ya Allah.

Perasaan yang begitu dalam terhadap sebuah cinta yang hadir tanpa dipaksa-paksa.

Hari ini batalion kami bersurai buat seketika. Tapi saff kami tidak pernah bercerai walau sementara. Kerana yang mengikat kami bukanlah rantaian fana, tetapi sebuah perjanjian yang disaksikan seluruh alam bumi dan langit. Kamilah dentuman dentuman takbir yang akan menggentarkan dada-dada musuh. Kamilah barisan pembawa cahaya yang bakal mengikramkan kembali bumi yang dihina.

Allahumma ameen.

Allahul musta’an.

Segores luka di jalan Allah,

Kan menjadi saksi pengorbanan…

6 thoughts on “Askar-askar Glenworth Valley

  1. Salam ya ukhtie,

    terasa dpt merasai apa yg paa rasai…teringin nak merasainya secara life…masyaALLAH, hebatnya boleh mengharungi kem askari dlm bulan ramadhan! smg apa yg kalian lalui akan terus menguatkan utk mengharungi cabaran sebenar!

    with love to paa n batalionmu…

Leave a reply to siti_sha Cancel reply