Berkorban itu manis

Siapa kata berkorban itu sesuatu yang manis?

Siapa kata berkorban itu sesuatu yang indah?

Siapa kata berkorban itu sesuatu yang menggembirakan?

Tiada siapa kata begitu kecuali seorang da’ie yang tidak merasa sesuatu melainkan keindahan iman, yang tidak dahagakan apa-apa melainkan kecintaan dan rindu kepada syurga, yang tidak bercita-citakan sesuatu kecuali sebuah kemenangan buat Islam tercinta dan menyaksikan seluruh umat manusia menjejaki syurga di sana. Orang-orang inilah yang akan merasakan pengorbanan masa, diri, hartanya sebagai kemanisan yang luar biasa.

Pengorbanan(at-tadhhiyah) bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak mungkin mudah. Semakin sedikit keinginan nafsu dipenuhi, semakin besar ruh pengorbanan itu. Dan kerana itu jugalah, peristiwa-peristiwa pengorbanan sering menyaksikan air mata yang bercucuran, kesakitan yang berpanjangan dan keperitan yang tiada bandingan. Dan kerana itu jugalah tiap-tiap pengorbanan itu biar sekecil zarah tetap akan mendapat ganjaran.

Wahai para saksi, para pewaris nabi, tangan-tangan yang akan mengubah dunia, untuk melihat panji Islam kembali menaungi alam ini, kita perlu banyak sekali berkorban. Mana mungkin sebuah kejayaan datang bergolek tanpa sebarang kesusahan.

Cuba fikir, apakah yang mungkin terjadi andai Rasulullah dan sahabat-sahabat tidak mahu diboikot lalu menghentikan dakwah Islam? Bagaimana mungkin rupa kehidupan kita hari ini?

Cuba fikir, apakah yang mungkin berlaku sekiranya Ibrahim tidak mahu meninggalkan Hajar, isterinya yang tercinta, dan Ismail, anaknya yang tersayang, lalu tidak mahu menerima perintah Allah itu? Bagaimana mungkin rupa kota Makkah sekarang jika tidak berlaku peristiwa itu?

Allah banyak sekali mengajar kita, membiasakan kita dengan pengorbanan demi pengorbanan dan contoh-contoh yang Allah pamerkan kepada kita bukanlah dari orang-orang biasa tetapi dari kalangan para anbiya yang mulia dan bertambah mulia dengan pengorbanan mereka.

Kadangkala kita perlu mengambil sedikit masa, duduk dan perhatikan diri kita.

Apakah benar pengorbanan kita adalah keranaNya?

Apakah benar air mata kita mengalir keranaNya?

Apakah benar penat lelah kita adalah keranaNya?

Suatu hari, ketika Mus’ab bin Umair datang ke sebuah majlis Rasulullah dengan pakaian yang bertampal-tampal, Rasulullah menangis melihat Mus’ab. Betapa besar pengorbanan pemuda ini. Rasulullah teringat akan betapa senangnya kehidupan Mus’ab suatu ketika dahulu sebelum Mus’ab memeluk Islam,beliau dimanja dan disayangi ibunya. Namun kini Mus’ab miskin, susah, tangan lembutnya kini kasar, wajah mulusnya kini kurus. Besarnya pengorbanan Mus’ab sehingga seorang Rasul pun menangisinya.

Lalu Rasulullah saw bersabda;

“Bagaimana kamu, bila kelak pagi kamu berpakaian kebesaran dan petang hari kamu mengganti pakaian kebesaran lainnya, piring-piring makanan datang bersilih ganti dan kamu sudah mulai memasang penutup dinding seperti kaabah dibalut sitar(kelambu).”

Lalu para sahabat berkata, “Bukankah saat itu kami jadi lebih baik, kerana dapat sepenuh waktu beribadah dan tercukupi segala keperluan utama?”

Lalu Rasulullah menjawab, ” Tidak, kamu hari ini lebih baik daripada hari itu.”

Berkorban itu manis kerana ia antara kita dan Dia sahaja. Percayalah, rahsia antara kekasih itu cukup mengukuhkan cinta.

Advertisements

2 thoughts on “Berkorban itu manis

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s